Isnin, 27 Ogos 2012

Tekanan/cabaran/ujian menjadikan manusia lebih hebat.

Bayangkan, sebuah ladang nanas yang sungguh luas. Ia sedang membesar, dan tuan punya berharap agar hasilnya adalah Gred A, yang mana peraih akan memberikan harga yang lebih tinggi untuk setiap hasil tersebut. Maka gigihlah tuannya menjaga mereka umpama menatang minyak yang penuh. Dibaja, disiram dengan penuh harapan.

Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari. Rupanya, ada makhluk lain yang tidak dikehendakinya bersama-sama mengambil berkat kerja-kerja tuan ladang tersebut. Pada mulanya, rajinlah tuan ladang mencabut rumput yang bakal merencatkan pertumbuhan nenas tersebut, yang boleh melenyapkan impian nanas Gred A beliau. Namun, oleh kerana tidak larat kerana 'sungguh luasnya' ladang itu, lantas dibelinya racun rumpai yang tidak berbahaya kepada nanas, tetapi ganas terhadap rumput tersebut.

Memang habis semua rumput mati terkena serangan racun rumpai tersebut. Setiap kali selepas membaja, rumput akan tumbuh bagaikan cendawan. Sehinggalah sampai satu hari, tuan ladang terasa hairan kerana terdapat satu kawasan kecil rumput yang tidak mati, walaupun disembur dengan racun tersebut. Walaupun ditambah dos dan sukatan racun tersebut supaya lebih pekat hingga ke tahap membahayakan kesihatan nanas dan tuan ladang itu sendiri, rumput itu masih hidup dengan selambanya.

Akhirnya, tuan ladang tersebut terpaksa menggunakan racun jenis lain. Dan ulangan perenggan 3 berulang-ulang hingga semasa menuai hasil. Syukur, nanas masih kekal dalam julat perancangan tuan ladang, Gred A. Namun, rumput pula umpama semakin kebal dengan bermacam-macam jenis racun.

Tamat ceritanya.

Rumput tersebut telah ditekan dengan hebatnya dengan penggunaan racun yang mampu membunuhnya. Setiap kali disembur racun, mereka akan mati, sehinggalah sampai satu masa, yang mana racun tersebut tidak lagi memberikan apa-apa kesan kepada rumput tersebut, yang mana istilahnya rumput tersebut sudah 'rintang' atau 'resist' kepada racun. Walaupun penggunaan racun lain berjaya membunuhnya semula, racun tersebut berjaya mengadaptasikan keadaan dengan kembali rintang atau resist kepada racun tersebut.

Begitulah juga dengan manusia, atau dalam konteks lebih besar, sebuah bangsa. Sesebuah bangsa yang ditekan/didalam bahaya, apabila berjaya melepasi tahap-tahap tertentu, akan menjadi lebih hebat daripada sebelumnya. Contoh, bangsa Amerika. Sebuah bangsa yang pada mulanya diasaskan koloni-koloni imperialis daripada British dan negara-negara lain yang tukang tulis tak ingat. Akibat ketidakadilan si imperialis terhadap koloninya, koloni-koloni tersebut membuat pakatan untuk bebas daripada imperialis tersebut.

Mereka menggunakan jalan peperangan dalam hal ini. Maka silalah google sendiri, tukang tulis pun tahu pasal tukang tulis adalah seorang gamer. Yang dipendekkan cerita, koloni-koloni tersebut telah berjaya mendapatkan kemenangan, dan mencapai kemerdekaan mereka. Dan lihatlah kini, bangsa Amerika, walaupun agak terlewat muncul dalam peta dunia dibandingkan kuasa besar lain, kini menjadi 'polis dunia'.

Maka, apabila kita mendapat satu musibah/tekanan/kebahayaan, anggaplah ia sebagai satu kursus penambah-baikan diri, agar diri kita menjadi lebih hebat daripada sebelumnya.